Monday, August 18, 2014

Menggredkan kualiti gaharu oleh FRIM


Penggunaan peralatan berteknologi tinggi seperti Gaharu Sense penting bagi menentukan kualiti minyak yang dihasilkan.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah mula menjalankan penyelidikan mengenai gaharu sejak awal 1990-an lagi.

Penyelidikan itu melibatkan pelbagai perkara berkaitan gaharu antaranya kajian biologi tentang spesies yang menghasilkan gaharu, pengaruhan pembentukan gaharu, kajian kimia, kultur tisu, perladangan, kepelbagaian genetik dan sosioekonomi.

Menurut Ketua Program Pembangunan Produk Herba, Bahagian Hasilan Semula Jadi FRIM, Dr. Nor Azah Mohamad Ali, kajian beliau lebih tertumpu kepada pembangunan produk seperti penghasilan rumusan dan kawalan kualiti minyak pati gaharu yang dihasilkan.

Beliau yang berkata, antara penyelidikan terkini yang dijalankan ialah menggredkan minyak bagi membantu industri.

Katanya, minyak gaharu mempunyai keunikan dan kualiti berbeza yang menjadi faktor ia digredkan secara berlainan sama ada A, B, C mahupun D.

Bagi memastikan minyak gaharu adalah berkualiti dan bertepatan dengan gred yang diberikan, FRIM mempunyai pendekatan yang saintifik dan sistematik," katanya.

Minyak gaharu juga boleh diprofilkan menggunakan kaedah pengekstrakan yang lebih mudah dan tanpa pelarut melalui teknik headspace-Solid Phase Microextraction (HS-SPME) yang digabungkan dengan GC/MS.

Pengawalan kualiti minyak gaharu amat penting bagi memastikan ia mempunyai piawaian yang seragam dan seterusnya boleh digunakan dalam pembangunan produk-produk yang bermanfaat dan berkualiti tinggi.

Teknik pemprofilan kimia itu telah mula ditawarkan kepada pihak industri gaharu dan boleh digunakan untuk mencirikan kualiti minyak gaharu tempatan.

Menurutnya, minyak gaharu amat bernilai dan kini banyak digunakan di gunakan dalam bahan pewangi.

Minyak gaharu juga boleh diadun dalam pelbagai produk penjagaan diri.

Selain minyak gaharu, penyelidikan FRIM juga tertumpu kepada khasiat daun karas melibatkan kajian terperinci terhadap pencirian kimia dan bioaktiviti biologi sedang dijalankan.

Setakat ini, FRIM telah menghasilkan satu rumusan ekstrak daun karas yang didapati mengandungi aktiviti antioksidan yang berupaya memelihara sel kulit daripada kerosakan radikal bebas.

Ekstrak daun karas telah dibangunkan dalam rangkaian produk prototaip penjagaan harian khusus untuk lelaki seperti pencuci tangan, pencuci muka untuk kulit sensitif dan kulit berminyak, toner penyegar, krim pelembap, pelembap bibir dan serum antioksidan berteknologi nano untuk merawat masalah kulit lelaki secara umum.

Produk-produk protaip ini akan diuji terhadap keselamatan, alahan dan juga kesesuaian terhadap kulit pengguna dengan mengunakan skin testing equipment bagi menjamin kualiti produk yang dihasilkan.

Teknologi penggredan

Gaharu sense adalah satu sistem pengkelasan pintar bagi mutu kayu gaharu yang telah dibangunkan oleh FRIM yang berkonsepkan penggunaan teknologi alat pengesanan bauan.

Objektif utama teknologi gaharu sense adalah bagi mengenal pasti mutu kayu gaharu berdasarkan tindak balas alat pengesanan yang unik dan membandingkannya dengan data-data dalam pangkalan data sedia ada. Kaedah tersebut penting bagi menentukan sesuatu mutu sampel gaharu sama ada bergred tinggi atau rendah.

Gaharu Sense terdiri daripada gabungan beberapa proses bermula dengan pengumpulan data-data tindak balas alat pengesanan bauan daripada kayu-kayu gaharu ke dalam pangkalan data. Seterusnya ialah proses klasifikasi dilakukan bagi mengenal pasti sampel baru yang tidak diketahui tahap mutunya.

FRIM kini dalam proses menambah baik sistem pengredan kayu gaharu sedia ada dengan mengintergrasikan teknik-teknik klasifikasi pintar yang pelbagai bagi menghasilkan hasilan ujian yang lebih baik dan konsisten.

Salah satu daripada teknik tersebut yang mengunakan sistem jaringan neural tiruan (ANN) telah dihantar untuk pengfailan paten Gaharu Sense - A Method For Classifiying Agarwood (PI2010004584).

Teknologi ini telah meraih pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa

Dalam pada itu , Dr. Nor Azah menambah, industri telah memainkan peranan penting dalam pembangunan pokok karas dengan mencuba teknik inokulasi berbeza.

Bagaimanapun FRIM akan meninjau kayu gaharu yang dihasilkan itu dan menawarkan perkhidmatan antaranya mengekstrak minyak selain penggredan minyak dan terbaru dan penggredan kayu.

FRIM telah menemui pendekatan yang lebih sistematik dan saintifik dengan menggunakan peralatan saintifik yang berteknologi tinggi untuk menentukan kualiti gaharu.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140512/ag_02/Menggredkan-kualiti-gaharu#ixzz3AkN8BBMz 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment